DATUK Pandelela Rinong terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, selepas cubaan terakhirnya menerusi acara 10 meter (m) platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri, sekadar di kedudukan ke-12.
Keputusan ini bermakna, Pandelela tidak akan beraksi di pentas Sukan Olimpik buat kali pertama sejak dia mula tampil pada Temasya 2008 di Beijing.
Ironinya, boleh dikatakan ratu terjun negara itu juga, menjadi atlet Road to Gold (RTG) pertama sah tercicir kelayakan Olimpik.
Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low mengesahkan perkara itu, selepas tiada lagi kejohanan untuk penerjun negara memburu slot kelayakan ke Paris 2024.
“Ya tidak layak… nampaknya begitulah tetapi Dhabitah masih ada acara untuknya, iaitu 3m papan anjal dan 3m papan anjal seirama,” kata Andy, ketika ditanya mengenai kedudukan Pandelela selepas aksi di Kejohanan Akuati Dunia di Doha, Qatar.
Pada aksi malam tadi, Pandelela bersama Nur Dhabitah Sabri gagal dalam usaha merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris apabila menduduki tempat ke-12 dalam acara 10m platform seirama.
Kedua-duanya gagal mempamerkan aksi terbaik mereka dan menduduki tempat ke-12 dalam saingan yang menampilkan 16 pasangan penerjun apabila mengumpul keseluruhan 240.06 mata pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Akuatik Hamad.
Tempat pertama dimenangi oleh gandingan penerjun China, Chen Yuxi-Quan Hingchan dengan 362.22 mata diikuti oleh wakil Korea Utara, Kim Mi Rae-Jo Jin Min (320.70 mata) manakala pasangan Britain, Toulson Lois-Spendolini Sirieix menduduki tempat ketiga dengan 299.34 mata.
Bagi mendapatkan slot ke Sukan Olimpik, Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan di kedudukan empat teratas dalam pertandingan itu.
Terdahulu, Ooi Tze Liang-Muhammad Syafiq Puteh yang beraksi dalam acara 3m Papan anjal individu lelaki turut tersingkir selepas masing-masing menduduki tempat ke-23 dengan 352.10 mata dan 45 dengan 296.35 mata.
Sebelum ini, pada kejohanan sama Ahad lalu, Pandelela terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris bagi acara 10m platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan.
Pandelela memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 dalam acara 10m platform seirama, turut gagal melayakkan diri dalam acara individu selepas mengakhiri saingan di kedudukan ke-29 daripada 46 penerjun dan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata selepas lima terjunan.
Untuk rekod, Pandelela pernah memenangi pingat gangsa 10m platform individu, pada Temasya London 2012.