KEKOSONGAN jawatan sebagai ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, kini dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan, sekali gus menggantikan kekosongan yang ditinggalkan A Arulselvaraj, yang telah tamat kontrak.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuka jawatan itu menerusi iklan yang disiarkan di media sosial milik mereka sejak semalam.
Berdasarkan perkongsian iklan jawatan kosong terbabit, permohonan hendaklah dibuat selewat-lewatnya 16 Februari.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, permohonan juga terbuka kepada Arul sendiri.
Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah bertanggungjawab meneliti setiap permohonan sebelum disenarai pendek dan dikemukakan kepada Lembaga Eksekutif untuk membuat keputusan.
“Memang semua dibenarkan memohon, siapa pun tak kisah sama ada luar atau dalam negara. Mereka diberi peluang untuk mohon dan ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi.
“Selepas 16 Februari, Datuk Manjit dan jawatankuasa beliau akan melihat semula siapakah calon jurulatih yang layak untuk dipanggil temuduga,” katanya, pada sesi ramah mesra barisan kepimpinan tertinggi KHM bersama media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Beliau mengakui, jawatan ketua jurulatih baharu skuad lelaki kebangsaan perlu dilantik secepat mungkin bagi membolehkan pasukan negara melakukan persediaan rapi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung Mei depan.
“Pada bulan puasa, saya jangkakan pasukan kebangsaan akan mula menjalani latihan, jadi saya berharap menjelang hujung bulan ini kami sudah membuat keputusan untuk melantik jurulatih baharu.
“Sama ada ia (jurulatih) lama atau baharu, saya tidak pasti. Biar Jawatankuasa Kejurulatihan memberi pandangan mereka dahulu,” katanya.
Arul yang dilantik selaku ketua jurulatih skuad negara bermula Ogos 2020, gagal membimbing Speedy Tigers melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris, biarpun berjaya melakar beberapa kejayaan termasuk membawa pasukan menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama dalam sejarah.
Namun, kegagalan skuad negara meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou selain gagal ke separuh akhir pusingan kelayakan Olimpik di Muscat, Oman, menjadi petunjuk prestasi sebenar kepimpinan Arul.