KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyatakan rasa berat hati apabila terpaksa mengorbankan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Pengorbanannya itu demi mempersiapkan skuad Sang Badak untuk menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara iaitu menentang Macarthur FC di Australia pada Selasa depan.
Kim Swee turut menyatakan bahawa tahun 2024 adalah kali pertama dia merasai peristiwa berjauhan dengan ahli keluarga ketika musim perayaan.
“Sudah tentu ia merupakan satu detik berbeza untuk perayaan tahun ini kerana selalunya saya akan bersama dengan keluarga setidaknya dua atau tiga hari sebelum raya untuk meluangkan masa bersama mereka.
“Tetapi saya akur dengan amanah yang diberikan iaitu demi Sabah FC, saya terpaksa korbankan cuti Tahun Baharu Cina saya,” ujar pengendali berusia 53 tahun itu.
Sementara itu, Kim Swee juga meluahkan kegembiraannya apabila sempat mencuri waktu bersama keluarga tercinta pada malam makan besar sebelum berlepas ke Sydney pada Sabtu ini, walaupun terpaksa melupakan beberapa tradisi keluarga yang lain.
Sabah FC sebelum ini menjadi pasukan pertama yang memulakan latihan bola sepak bagi menghadapi aksi separuh akhir zonal Piala AFC 2023-24 bertemu wakil Australia, Macarthur FC yang dijadualkan pada 13 Februari.
Mereka dalam misi untuk memburu kemenangan sekaligus melayakkan diri ke peringkat akhir zon Asean bertemu sama ada satu lagi wakil Australia, Central Coast Mariners atau kelab Kemboja, Phnom Penh Crown.