SON Heung-min menilai dirinya tidak layak untuk menjadi kapten Korea Selatan selepas gagal mara ke final Piala Asia 2023 di Qatar.

Kemaraan Taeguk Warriors dihalang Jordan pada separuh akhir. Pasukan bimbingan Jurgen Klinsmann itu menyerah kalah 0-2 di Stadium Ahmad bin Ali, Doha pada Selasa lepas.

Selepas kegagalan ini, Son segera terbang ke London untuk menyertai Tottenham Hotspur. Dalam perjalanan ini, Son membuat kenyataan di media sosial Instagram.

“Memang menakutkan dan menyedihkan berjalan pulang ke London selepas perlawanan (separuh akhir Piala Asia), tetapi kami tiba dengan selamat,” tulis Son dalam akaun Instagram peribadinya.

“Saya rasa saya tidak cukup bagus sebagai kapten dan tidak memimpin dengan baik. Saya sangat berbangga mewakili Korea kerana kasih sayang dan sokongan anda, walaupun dalam situasi ini.”

Lelaki yang juga kapten Tottenham itu turut kesal kerana tidak dapat merangkul kejuaraan. Kali terakhir Korea memenangi Piala Asia ialah pada tahun 1960 atau dalam edisi kedua.

“Ramai orang tidak sabar untuk menonton kejohanan Piala Asia dan saya hanya fokus pada keseluruhan perlawanan dengan ganjaran yang dibawanya,” katanya.

“Ia benar-benar menyedihkan. Terima kasih dan maaf,” tulis Son, mengakhiri muat naiknya yang memuatkan tujuh gambar daripada penampilannya di Piala Asia 2023 di Qatar.

Son bermula sebagai kapten Korea pada Oktober 2023. Namun, sebelum itu Son sudah pun menjadi kapten Korea B-23 apabila muncul di Sukan Asia 2018 di Indonesia.