VIDEO perpindahan pemain warisan kebangsaan, Nooa Laine ke Selangor FC bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak tempatan tetapi turut menarik perhatian media bola sepak terkemuka dunia, Copa90.
Copa90 yang berpangkalan di London telah berkongsi video pengenalan itu di laman sosial X rasmi kerana tertarik dengan konsep rakaman video dari badan seorang pemain itu sendiri.
Perkongsian itu sehingga kini mendapat 241,000 tontonan dengan lebih 1,000 retweet dan 1,500 likes sekaligus digelar ‘mendonia’ oleh para penyokong Gergasi Merah.
🇲🇾 Selangor FC's new signing unveiling video is giving us major I AM PLAYR vibespic.twitter.com/lqPPl3vu4r
— COPA90 (@Copa90) February 9, 2024
“Video pengenalan pemain baharu Selangor FC memberikan kami pengalaman ‘vibes’ seorang pemain,” tulis Copa90 dalam hantaran itu.
Selain dari dapat melihat ‘Point of View’ (POV) seorang pemain, para penyokong juga dapat melihat sendiri keadaan pusat latihan Selangor FC yang semakin lengkap dan sesuai dengan tuntutan bola sepak moden.
Kehadiran Nooa Laine bakal memperkuatkan lagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk saingan Liga Malaysia musim 2024-25 dan juga kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas naib juara Liga Super 2023 itu turut mengumumkan tiga lagi pemain import.
Sebelum ini Selangor memperkenalkan tonggak pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, penyerang Chile, Ronnie Fernández, pemain sayap, Alvin Fortes dan juga penjaga gawang muda, Azim Al Amin.
Selangor bakal menjalani kempen pra musim di Thailand pada Mac sebagai persiapan untuk membentuk gandingan terbaik dalam usaha mencabar kejuaraan liga dan memberikan saingan dalam kejohanan ACL2.