JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri daripada berlari di final Kejohanan Jemputan Dalam Dewan Clemson Tiger Pow 2024, kelmarin.
Azeem sebelum ini mencatat masa 6.65 saat (s), berjaya ke pentas final setelah menamatkan larian separuh akhir saingan 60 meter (m) pada kedudukan kedua, di belakang pelari dari Amerika Syarikat (AS), Kasaun James yang mencatat masa 6.62s.
Namun, pelari berusia 20 tahun itu terpaksa membuat keputusan untuk tidak memulakan perlumbaan (DNS), dan bekas jurulatihnya sebelum ini, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengesahkan dia kekejangan otot sebelum aksi final.
“Kejang otot (cramp)… tidak serius,” kata Amir ketika diminta mengulas mengenai keadaan anak didiknya yang sedang melanjutkan pelajaran dan mewakili Universiti Auburn, AS itu.
Perlumbaan akhir dimenangi Eric Harrison Jr dari Trinidad and Tobago dengan catatan 6.59s manakala James di tempat kedua, 6.61s, manakala seorang lagi pelumba AS, Mccallum T’Mars melengkapkan pentas podium di tempat ketiga dengan catatan 6.63s.
Kejohanan dalam dewan ini adalah yang kedua buat Azeem bagi 2024, selepas Kejohanan Jemputan Razorback di Pusat Tertutup Randal Tyson di Fayetteville, AS, hujung bulan lalu.
Dalam saingan berkenaan, Azeem menamatkan aksi saringan di tempat kesembilan keseluruhan selepas melakukan catatan masa 6.70s), sekali gus meleburkan hasratnya melangkah ke final.
Dalam perkembangan lain, jaguh lempar cakera lelaki negara, Irfan Shamsuddin menduduki tempat keenam dalam saingan Jemputan Adelaide semalam selepas melakukan lemparan keenam dengan catatan 57.15m.
Juara bagi saingan berkenaan diraih Conor Bell dengan catatan 65.93m, diikuti wakil tuan rumah, Matthew Denny (65.74m) dan tempat ketiga diraih Nicholas Percy dari Great Britain (63.09m).
Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar pula menduduki tempat kelima selepas melakukan lompatan sejauh 15.79m.
Podium dalam acara berkenaan disapu bersih wakil tuan rumah dengan tempat pertama milik Aiden Hinson (16.34m), diikuti Connor Murphy (16.33m) dan ketiga, Julian Konle (16.18m).