NG Tze Yong seakan pasti diturunkan pada perlawanan pertama Malaysia menentang Brunei, esok ketika Malaysia memulakan kempen mempertahan kejuaraan, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Jurulatih perseorangan, Hendrawan memberi bayangan bahawa pemain berusia 24 tahun itu bakal beraksi pada perlawanan pertama, ketika menjawab mengenai tahap kecergasan Tze Yong.

“Ini adalah kejohanan pertama Tze Yong, cergas atau tidak kita akan lihat perkembangannya dalam perlawanan pertama, di situ kita akan nampak.

Hendrawan (dua dari kiri) mahu melihat sejauh mana prestasi Ng Tze Yong pada perlawanan pertama, selepas mengharungi proses pemulihan dari kecederaan belakang.

“Perlawanan pertama menentang Brunei, biasanya semua pemain utama akan main, dan dapatkan feeling, apapun strategi nak turunkan siapa, pastinya setiap pemain menggalas tanggungjawab masing-masing,” kata Hendrawan, ditemui pada sesi latihan rasmi di gelanggang kejohanan pada pagi Isnin.

Menurutnya, pasukan lelaki mahu tampil sebagai juara kumpulan B, yang turut dianggotai Taiwan dan Kazakhstan.

“Ya Taiwan adalah lawan yang lebih  sukar berbanding Brunei dan Kazakhstan, tetapi jika kita juara kumpulan, lawan di peringkat seterusnya pasti lebih mudah,” ujar Hendrawan.

Pada sesi latihan pagi ini, kelibat Leong Jun Hao tidak kelihatan namun Hendrawan mengesahkan, kondisinya tidak membimbangkan dan hanya perlu berehat kerana mengalami batuk-batuk dan mengganggu tidurnya.

Sementara itu, Tze Yong mengakui teruja untuk kembali ke gelanggang pertandingan, selepas dua bulan rehat akibat kecederaan otot tulang belakang yang dialami pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Lee Zii Jia kelihatan keletihan selepas hanya pulang dari Korea, semalam.

“Kalau kondisi badan saya OK, saya nak main semua perlawanan dan tentunya tiada pemain yang mahu kalah.

“Setiap satu mata amat penting dalam pasukan, kerana jika saya mendapat mata dan mendahului lawan, rakan sepasukan boleh beraksi tanpa tekanan, tak tertekan sangat,” kata Tze Yong.

Pengalaman berada dalam skuad yang menjuarai kejohanan dua tahun lalu, pemain berasal dari Johor itu berharap pengalaman yang ada padanya boleh digunakan untuk memenangi setiap perlawanan.

Malah, kehadiran Lee Zii Jia yang baru pulang dari latihan di Korea Selatan, meningkatkan lagi keyakinan pasukan.

“Ya melihat Zii Jia berlatih di Korea beri keyakinan kepada pasukan dan berlatih di sana agak tough,” ujarnya