TEMPOH 10 hari berkelana di Korea Selatan, meningkatkan keyakinan Lee Zii Jia untuk mengetuai pasukan lelaki mempertahan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Pemain nombor 10 dunia itu mengakui, banyak input berharga diperoleh menerusi kem latihan di Persatuan Badminton Korea (BKA), di Jincheon, Seoul.
“Saya tidak sabar untuk beraksi di BATC selepas menjalani latihan yang menakjubkan di Korea.
“Pasti ramai tahu bahawa BKA telah melahirkan dua juara dunia (beregu lelaki dan beregu campuran), jadi dapat menjalani latihan bersama mereka… tentunya amat menakjubkan.
“Selain itu, mereka mempunyai fasiliti berkelas dunia dan saya gembira kerana mereka mengalu-alukan kehadiran saya,” kata Zii Jia.
Malaysia munjul juara edisi dua tahun lalu dan Zii Jia, 26, berada dalam pasukan yang menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi final.
Malaysia diletakkan dalam kumpulan B, akan membuka kempen menentang Brunei, esok (Selasa), sebelum berdepan Kazakhstan dan Taiwan.
Mengulas mengenai perlawanan manakah yang dia akan mula beraksi, Zii Jia berkata: “Bagi orang lain saya tak tahu, tetapi bagi saya, saya nak main pada perlawanan menentang pasukan lebih mudah terlebih dahulu.
“Taiwan mungkin tidak membawa barisan terkuat mereka, tetapi mereka masih membawa Lin Chun Yi dan Lee Yang-Wang Chi Lin sebagai perseorangan pertama dan beregu pertama mereka.
“Tekanan tetap ada tetapi kita perlu atasinya.”
Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mati dan pasukan yang ke separuh akhir akan mendapat tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di Chengdu, China, April nanti.