BEKAS pemain PDRM FC, Alifh Aiman Rosman akui dirinya sedang dalam fasa perbincangan bersama sebuah kelab Liga Super lain bagi menghadapi saingan bola sepak musim 2024 ini.

Pemain berusia 25 tahun itu adalah antara tujuh pemain yang digugurkan daripada skuad Sang Saka Biru dan kini dirinya sedang berusaha untuk melebarkan sayap ke sebuah lagi pasukan Liga Malaysia iaitu Negeri Sembilan FC.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, dirinya telah tekad untuk kembali beraksi di kancah bola sepak tempatan sejurus memperbaiki segala kekurangannya untuk menampilkan mutu permainan yang lebih cemerlang bersama pasukan barunya kelak.

“Saya memang ada dapat tawaran dari Negeri Sembilan FC tetapi belum ada hitam putih lagi. Sekarang saya masih menunggu panggilan untuk teruskan langkah seterusnya dan mungkin proses sekarang dalam 80 peratus.

“Andai kata saya diberi peluang untuk bersama mereka, saya akan buat yang terbaik dan membuka mata orang luar tentang kebolehan saya.

“Saya turut berimpian jika ada rezeki untuk bersama Negeri Sembilan, setidaknya kami dapat mencapai sesuatu. Jika tidak piala, mungkin dapat duduk di ‘Top 5’,” ujar Alifh kepada FLASH SUKAN.

Ketika ditanya mengenai kenangannya bersama PDRM, Alifh mengakui bahawa banyak kenangan pahit dan manis bersama bekas pasukannya itu.

Sewajarnya dia merasakan demikian, ini kerana dirinya berpeluang untuk menjulang Piala MFL Challenge Cup 2023 walaupun akui tidak mempunyai minit permainan yang banyak bersama kelab itu.

Untuk rekod, Alif sebelum ini merupakan tonggak pemain Kelantan FC yang telah bersama dengan skuad The Cops pada saingan musim 2023.

Selama semusim bersama PDRM, Alifh telah membuat 10 penampilan namun gagal menghasilkan sebarang bantuan jaringan mahupun gol untuk pasukannya.