PASUKAN Sabah FC sudah bersedia untuk menghadapi wakil Australia, Macarthur FC dalam aksi semi final zonal Piala AFC 2023-24 di Campbelltown meskipun tanpa beraksi dalam perlawanan kompetitif hampir dua bulan.

Sabah menjadi pasukan Malaysia pertama memulakan kempen tahun 2024 selepas Liga Malaysia 2023 tamat pada pertengahan Disember namun perubahan kalendar Liga Malaysia menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee hanya menjalani latihan tanpa mengadakan perlawanan persahabatan.

Namun Kim Swee tidak bimbang sebaliknya yakin semua pemainnya bersedia untuk menghadapi lawan yang lebih berpengalaman dengan rekod tujuh perlawanan domestik tanpa kalah.

“Pasukan berada dalam keadaan yang baik dengan cuaca juga tidak banyak berbeza dengan Malaysia jadi kami boleh mengadaptasi dengan cepat dan saya yakin para pemain sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik.

“Kami sedar kami tidak bermain dalam perlawanan kompetitif hampir dua bulan selepas liga tamat pada Disember tetapi dengan pengalaman yang ada pada para pemain, saya yakin mereka dapat menghadapi perlawanan ini meskipun sedar ianya sukar.

“Macarthur tidak kalah dalam tujuh perlawanan liga namum kami sudah menganalisa permainan mereka dan akan berikan segala-galanya untuk membawa pulang kemenangan sekaligus layak ke final zon Asean,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sementara itu pemain pertahanan, Telmo Castanheira sedar kepentingan aksi ini bukan sahaja buat Sabah tetapi juga Malaysia dan dia serta rakan-rakan sepasukan sudah tidak sabar untuk mempamerkan aksi berkualiti.

“Kami sedar perlawanan ini cukup penting bukan sahaja buat Sabah tetapi Malaysia. Kami membawa dua nama ini ke Australia dan kini bersedia untuk mempamerkan kualiti permainan masing-masing bagi membawa pulang kemenangan,” jelasnya.

Kim Swee juga menambah kehadiran Pengarah Teknikal, Scott Ollerenshaw dan pernah bekerjasama dengan Brad Maloney sebelum ini yang mana kedua-duanya adalah warga Australia dapat memberikan gambaran tentang cara kerja dan taktikal yang akan digunakan lawan.

Jika menang dalam perlawanan ini, Sabah FC akan membantu menambah mata MA Malaysia dan kembali ke Stadium Likas untuk aksi Zonal Final bertemu pemenang sama ada Central Coast Mariners atau Phnom Penh Crown.