GEMPAR sebelum ini tentang dua pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibawa masuk ke Terengganu FC bagi memperkuatkan barisan jentera musim 2024/2025 mereka.
Akhyar Rasyid adalah seorang daripadanya yang bakal memegang watak utama dalam strategi perancangan yang disusun oleh pengendali, Tomislav Steinbruckner.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dirinya berasa teruja dan terharu apabila diberikan peluang untuk bersama dengan sebuah pasukan yang dianggap pencabar utama dalam saingan bola sepak musim lalu.
“Saya lihat kekuatan dalam pasukan ini dan para pemain juga majoritinya pemain lokal dan mereka turut berjaya menjadi pencabar kejuaraan yang sangat kuat pada musim lepas dibawah kendalian Tomislav Steinbcruckner.
“Apabila mendapat tahu Tomislav berminat untuk mengambil khidmat saya dan Terengganu FC begitu serius untuk mendapatkan saya, maka saya tidak berselindung menyatakan yang saya rasa sangat teruja.
“Semoga Coach Tomi juga dapat beri kepercayaan kepada saya dan untuk saya dapatkan minit permainan yang banyak bersama Terengganu FC.
“Apa yang penting, saya berniat untuk menimba sebanyak ilmu yang boleh di Terengganu pula. Harap kehadiran saya dapat membantu skuad ini,” ujar pemain kelahiran Jitra, Kedah.
Akhyar juga sempat menyeru para penyokong skuad Sang Penyu untuk terus berikan sokongan dan semangat kepada dirinya dan juga keseluruhan pasukan supaya dapat melakukan yang terbaik pada musim 2024 ini.