TIADA manusia yang sempurna, begitu juga atlet dan tentunya agak mustahil untuk seseorang atlet meraih kemenangan dalam setiap kejohanan, malah perlu menempuh kegagalan dalam perjalanannya.
Begitulah pemahaman Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low, mengungkap mengenai kegagalan atlet terjun di Kejohanan Akuatik Dunia, di Doha, Qatar minggu lalu.
Namun, apabila menonton dan membaca berita mengenai alasan diberikan atlet terjunnya, beliau terkesima.
“Dia harus cakap minta maaf Malaysia, kali ini saya gagal, habis cerita. Manusia memang ada yang gagal tidak akan tiap-tiap hari sempurna 100 peratus… tidak gagal.
“Mesti kita hormati (alasan Pandelela) kerana kita akan duduk dengannya (berbincang) seawal mungkin panggil dia kita mahu tahu dulu apa masalah itu,” kata Andy.
Mengulas mengenai pelbagai alasan didendangkan Datuk Pandelela Rinong berikutan kegagalannya melepasi pusingan kelayakan Olimpik Paris, beliau berkata: “Manusia bila gagal bagi alasan, tolak kiri kanan, ini orang semua tidak profesional tetapi mahu ambil gaji.”
Meskipun berang dengan alasan yang dicanangkan kepada media, Andy tetap tenang menghormati kata-kata Pandelela itu, namun agak terkejut kerana setiap kali perjumpaan dengan pengurusan, ratu terjun negara itu tidak pernah memberitahu masalah dihadapi biarpun berulang kali diminta berkongsi sebarang masalah yang boleh menghalang prestasi mereka.
Ujar Andy, semua itu adalah alasan selepas (tamat kejohanan) dan sebagai manusia sudah tentu cuba memusingkan fakta serta keadaan sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN : Ada dalang ‘ganggu’ persiapan skuad terjun?
Ditanya mengenai dakwaan ada pihak yang mengganggu atlet terjun negara, Andy memberitahu: “Itu anda perlu pergi tanya dia. Setahu saya sebelum kejohanan kita dengannya setiap kali berjumpa, bermesyuarat dan bincang, tanya ada masalah atau tidak. Tidak ada yang hendak cakap,” katanya lagi.
Mengulas mengenai hasrat Pandelela yang belum mahu bersara dan ingin meneruskan karier, beliau berkata, persatuan tetap menghormati pendirian itu.
“Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu ‘loncat’ sampai 60 tahun pun saya terima tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.
“Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok, dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia, tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri, kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI, kalau tidak boleh capai tidak boleh salahkan kami,” katanya.
Tambahnya, MAS akan meminta pihak terlibat, membuat laporan untuk mereka duduk bersama melakukan bedah siasat mengenai kegagalan skuad terjun di Doha.
“Kita akan berbincangkan sekali mengenai bagaimana untuk memperbaiki (prestasi) bersama MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan barisan jurulatih. Sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari (mesyuarat akan diadakan) bagi masa jurulatih buat sedikit laporan.
“Kita juga perlu lihat sama ada pihak MSN mempunyai waktu senggang, kena ikut tarikh mereka. Minimum lima hingga tujuh hari, paling lewat Jumaat minggu depan. Setakat ini ia belum membabitkan menteri (Hannah Yeoh). Hanya mesyuarat awal di peringkat dalaman,” katanya.