PENGGUNAAN teknologi video bantuan pengadil (VAR) di industri bola sepak Malaysia semakin hampir untuk direalisasikan.
Perkara ini telah dinyatakan sendiri apabila Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Sivasundaram mengesahkan ujian VAR secara lebih teliti akan diadakan pada 20 hingga 24 April 2024 serta menerima pantauan daripada pakar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sendiri.
Pelbagai ciri yang perlu diberi perhatian semasa latihan ini termasuklah dari segi ujian padang, teknologi, perlawanan rasmi dan siaran langsung perlawanan yang akan dilaksanakan sewaktu latihan dijalankan.
“Seramai 21 pengadil, 20 bantuan pengadil dan sembilan pengadil ulang tayang selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf sendiri oleh Fifa sebelum ini.
“Ujian VAR pula akan diadakan di Malaysia pada 20-24 April dan penilaian oleh pihak Fifa akan dilakukan pada waktu demikian. Antara perkara yang perlu diuji termasuklah ciri teknologi, kemudahan padang, tinjauan dari perlawanan rasmi dan siaran langsung yang akan dilakukan.
“Kita perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Fifa dahulu untuk kita guna pakai VAR di Malaysia,” ujar beliau dalam sesi sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Terdahulu, FAM pernah menjangka bahawa sistem VAR akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia pada final Piala Malaysia, Disember lalu.
Namun, perkara itu tidak dapat disempurnakan oleh kerana kekangan yang dihadapi oleh pihak FAM untuk melakukan persediaan rapi sebelum Malaysia dapat menggunakan VAR sepenuhnya.
Untuk maklumat, teknologi VAR yang pertama kali digunakan di Malaysia adalah ketika perlawanan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 antara Kuala Lumpur City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb, di Stadium Nasional di Bukit Jalil dengan dikendalikan sepenuhnya oleh AFC.