TAK mungkin Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) akan panggil beliau (Kim Pan-gon) semula dalam keadaan kita masih memerlukannya.”

Berikut merupakan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkaitan dengan desas-desus risikan oleh Korea Selatan untuk mendapatkan khidmat Kim Pan-gon.

Pengendali berusia 54 tahun itu telah mendapat perhatian daripada masyarakat tempatan mahu pun luar negara sendiri atas sikap telus dan berdedikasinya dalam memacu skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Asia Qatar 2024 baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, terdapat beberapa lontaran yang menyatakan bahawa kelab Korea Selatan itu berminat untuk mendapatkan kembali ‘air tangan’ beliau.

Mohd Yusuf mengulas mengenai perkara ini dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-10 yang berlangsung pada Selasa, di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Beliau dengan tegas telah menyangkal dakwaan-dakwaan seperti yang dilontarkan oleh para peminat bola sepak dan menyatakan bahawa tiada tawaran rasmi diterima oleh Pan-Gon daripada KFA.

“FAM mempunyai perancangan tersendiri bagi pastikan apa yg dilakukan ketika ini berterusan. Kita melihat pasukan yang berada di bawah kendalian KPG ini semakin baik.

“Persatuan Korea juga tidak ada memanggil beliau semula. Tidak mungkin pasukan bola sepak Korea Selatan memanggil beliau semula dalam keadaan kita memerlukan khidmat beliau kerana impaknya dalam bola sepak yang sangat ketara.

“Kita juga sudah melanjutkan kontrak KPG sehingga tahun 2025 dan kita harap pada Kelayakan Piala Dunia nanti, pasukan lebih bersedia untuk memberi saingan,” ujar beliau sewaktu sesi sidang media dijalankan.

Untuk rekod, Kim Pan-Gon telah berjaya memacu Malaysia untuk berada di kedudukan 132 dunia menurut kemas kini semasa FIFA dan menjadi pasukan ke-3 terbaik di Asia Tenggara.