MESKIPUN gagal meraih mata buat Malaysia ketika menentang Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), perseorangan wanita kedua negara, K.Letshanaa yakin ada ruang untuk dia merapatkan jurang dengan jaguh negara jiran itu, Busanan Ongbamrungphan.
Menyedari lawan lebih berpengalaman dan berada di ranking jauh lebih tinggi, nombor 18 dunia, Letshanaa yang berada di kedudukan ke-57 kini tahu, dia memerlukan tahap ketahanan tinggi untuk berdepan lawan yang hebat.
“Bagi saya, masih ada kekurangan dan perlu perbaiki lagi untuk mengejutkan Busanan di masa depan tetapi saya yakin ini adalah perjalanan menuju kejayaan.
“Peningkatan yang saya perlukan adalah dari segi pemikiran, mental, kekuatan kerana sekarang saya dah mula bermain menentang pemain dalam Top 15 dunia, tapi ada kemajuan yang baik dan saya perlu berkerja lebih keras selepas ini,” kata Letshanaa, selepas tewas kepada Busanan, 17-21, 18-21.
Letshanaa, 21, berkata, dia perlu memperbaiki tahap konsistensi, keinginan dan ketahanan kerana pemain seperti Busanan tidak akan menyerah dan memaksa lawan melakukan kesilapan.
Tambahnya, peluang menentang pemain ranking tinggi semakin kerap diperolehnya ketika ini terutamanya dalam kejohanan bertaraf Super 300 dan Super 500.
Antara pemain ternama pernah ditentangnya seperti Tai Tzu Ying, Ratchanok Intanon dan beberapa lagi.
Letshanaa pernah berdepan Busanan di Sukan Asia lalu tewas mudah 13-21, 10-21, yakin pemain perseorangan wanita negara, tidak lagi jauh ketinggalan berbanding Thailand.
Pemain berasal dari Selangor itu berazam untuk memperbaiki permainannya bagi membantu pasukan di suku akhir esok.