PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap agar persaingan yang berlaku antara pasukan menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 bakal menjadi platform terbaik untuk melahirkan pemain-pemain berprestasi tinggi untuk skuad futsal kebangsaan.

Ini selepas lapan pasukan yang bertanding di MPFL musim 2024 dilihat begitu agresif dalam mempersiapkan pasukan termasuk bersaing untuk mendapatkan pemain terbaik bagi membantu pasukan menjulang kejuaraan.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail yang ditemui ketika majlis pelancaran jersi dan pengenalan pasukan futsal Sabah di Petaling Jaya.

“Dari pihak FAM, persiapan dalam peringkat akhir untuk melancarkan saingan MPFL pada 17 Februari dan kami berharap lapan pasukan yang bersaing dalam Divisyen 1 ini dapat menjadi pasukan elit dalam liga.

“Persiapan pasukan nampak meriah dengan kelapan-lapan pasukan ini nampak berlumba untuk mencari pemain terbaik sama ada pemain tempatan atau import dan harap persaingan ini jadi persaingan yang sihat yang mampu lahirkan pemain berprestasi tinggi untuk pasukan kebangsaan.

“FAM juga berharap agar nilai komersil liga futsal ini semakin bertambah dengan kini adanya siaran langsung dan persaingan sengit semua pasukan ini sudah pasti akan meningkatkan nilai dan juga kualiti liga,” katanya.

Rosmadi juga turut mendedahkan bahawa prestasi baik skuad futsal kebangsaan telah berjaya menarik minat banyak negara untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan juga menyertai kejohanan futsal antarabangsa.

“Hasil yang baik dari skuad kebangsaan ketika pusingan kelayakan Asia tahun lalu menyebabkan kita menerima banyak jemputan untuk perlawanan persahabatan daripada Bahrain Thailand dan Vietnam manakala Jepun juga menyatakan minat tetapi kami masih menunggu surat rasmi dari mereka,” tambahnya.

Dia juga sedar akan keadaan infrasruktur futsal yang sedikit ketinggalan di negara ini dan pihak FAM sudah berbincang dengan FA negeri dan kelab sendiri untuk menaiktaraf kemudahan yang ada untuk menaikkan lagi mutu perlawanan serta membuka ruang buat FAM untuk menjadi tuan rumah kejohanan futsal antarabangsa di masa akan datang.

“Berkenaan kemudahan infrasruktur ini, kita mempunyai masalah kerana fasiliti masih belum berada pada tahap terbaik dan FAM sering menyarankan semua FA dan pasukan untuk menaiktaraf kemudahan yang mereka ada,” tambahnya.

Selain lapan pasukan di Divisyen 1, Rosmadi turut menjelaskan bahawa tujuh pasukan akan bersaing dalam Divisyen 2 yang dilangsungkan secara karnival di satu venue berpusat yang akan ditentukan kelak.

MPFL 2024 akan membuka tirai saingan pada 17 Februari dengan juara bertahan, Pahang Rangers FC bertemu Shah Alam City pada Sabtu sebelum naib juara MPFL 2023, Johor Darul Ta’zim mengambil alih gelanggang bertemu Gombak TOT United.