BAGI memperkasa masa depan sukan terjun negara, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bakal menetapkan sistem mata dalam menentukan atlet yang akan dihantar bertanding di luar negara.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, Quality Management Systems (QMS) yang akan digunakan itu adalah satu rekod data, menyimpan maklumat dan pencapaian atlet setiap kali mengambil bahagian di mana-mana kejohanan.

Cadangan penggunaan QMS ini, sekali gus menyaksikan MAS memperketat pemilihan atlet untuk menyertai kejohanan antarabangsa selepas ini, kerana atlet terjun perlu menepati mata kelayakan yang akan ditetapkan.

Semua penerjun negara perlu berada pada tahap prestasi terbaik sepanjang masa, jika mahu beraksi di kejohanan antarabangsa.

“Kita menghormati hasrat atlet mahu terus bertanding, namun perlu ada kemajuan dan mencapai mata kelayakan QMS.

“Jadi, kita akan mempunyai skor kelayakan untuk perjalanan pada masa akan datang.

“Tidak ada lagi lambakan atlet dihantar, semnua pergi,” kata Andy, mengenai perancangan masa depan MAS terhadap sukan terjun.

Tambah beliau, penggunaan QMS juga bakal memberi peluang kepada atlet pelapis untuk menonjolkan diri sekali gus mendapat kejohanan pendedahan yang seimbang dengan atlet senior.

Katanya, selama ini, jurulatih membuat penilaian sendiri dalam menetapkan atlet untuk menyertai kejohanan, namun selepas ini data dari QMS akan menjadi kayu pengukurnya.

Pada Kejohanan Aquatik Dunia di Doha, minggu lalu, Malaysia menghantar 13 penerjun termasuk Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang, dalam usaha memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, yang akan bermula Julai depan.

Bagaimanapun, tiada seorangpun atlet negara melayakkan diri ke Paris 2024 menerusi kejohanan terbabit dan malangnya, dua atlet yang berada dalam program Road to Gold (RTG), mempamerkan prestasi yang amat mengecewakan.

Selain empat penerujun senior yang ke kejohanan itu, turut ke Doha adalah Syafiq Puteh, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jayasurya, Jellson Jabilin, Bertrand Rhodict Lises, Enrique Maccartney Harold, Kimberly Bong, Ong Ker Ying dan Nur Elisha Rania Muhammad Abrar Raj.