PASUKAN kebangsaan Mesir telah memecat pengurusnya Ehab Galal selepas mengendalikan tiga perlawanan, lapor BBC pada Khamis.
Lelaki berusia 54 tahun itu dilantik pada April selepas pengendali terdahulu dari Portugal, Carlos Queiroz meninggalkan The Pharaohs kerana kegagalan pasukan itu layak ke Piala Dunia di Qatar.
Galal bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas Guinea dalam kelayakan Piala Negara-Negara Afrika sebelum pasukannya tewas 2-0 kepada Ethiopia.
Perlawanan terakhirnya sebagai pengurus ialah kekalahan 4-1 di tempat lawan kepada Korea Selatan dalam aksi persahabatan pada Selasa.
Persatuan Bola Sepak Mesir berkata, mereka kini akan mencari jurulatih asing baharu untuk mengetuai cabaran pasukan itu.