SKUAD lelaki negara gagal mempertahan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas tumpas 0-3 kepada China dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) sebentar tadi.
Ketiadaan dua perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong jelas mengubah peluang dan senario, sehingga lawan negara Tembok Besar itu berjaya mencipta sejarah merangkul kejuaraan kali pertama kejohanan ini.
Leong Jun Hao yang dipertaruhkan selaku perseorangan pertama tidak dapat mengulangi pencapaian dua tahun lalu ke atas pemain ranking ke-16 dunia Weng Hong Yang, apabila tewas straight set 19-21, 17-21.
Jun Hao hanya mengetahui dia diturunkan selaku perseorangan pertama beberapa jam sebelum aksi final selepas Zii Jia mengadu mengalami masalah sukar bernafas akibat resdung sebaik perlawanan separuh akhir semalam.
Hasrat untuk melihat beregu utama negara, Aaron Chia kembali mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila mereka kalah 16-21, 21-16, 21-23 kepada pasangan nombor 90 dunia Xie Hao Nan-Zeng Wei Han.
“Saya rasa mereka (Hao Nan-Wei Han) bermain sangat bagus hari ini. Mungkin mereka kurang tekanan kerana pasukan sudah mendahului (1-0).
“Kami sudah cuba buat yang terbaik tetapi tuah tidak memihak kepada kami apabila tewas ketika mata penting,” kata Aaron.
China yang menduduki ranking nombor satu dunia mengesahkan kejuaraan selepas perseorangan kedua mereka, Lei Lan Xi berjaya mengalahkan pemain remaja negara, Eogene Ewe 21-10, 21-14.
Tahun lalu skuad badminton lelaki negara, berjaya muncul juara buat kali pertama selepas menumpaskan Indonesia 3-0.
Bagi Wooi Yik yang juga ketua pasukan, pengalaman berdepan masalah tidak dijangka pada kejohanan kali ini memberi pengajaran berguna untuk mereka.
“Saya sentiasa berfikir positif, dengan pengalaman ini ia akan menjadikan kami lebih kuat.
“Dengan Sukan Olimpik akan berlangsung tidak lama lagi, sudah tentu banyak lagi cabaran yang kami perlu harungi. Cabaran di sini adalah sesuatu yang bagus untuk kami belajar,” katanya.