KAPTEN pasukan Selangor FC, Fariq Mohammad akui bahawa kekalahan 2-3 kepada Sabah FA berpunca daripada kegagalan pasukannya untuk memanfaatkan peluang jaringan yang terbentang dalam saingan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) pada Ahad.
Selangor yang ketinggalan satu jaringan itu terpaksa akur dan bersyukur dengan keputusan perlawanan pertama mereka oleh kerana sikap hampir berputus asa telah mendominasi diri pemain.
Menurut Fariq, perasaan untuk berputus asa itu muncul sewaktu Sabah berjaya mencetak gol dalam masa Selangor masih tercari-cari rentak untuk merealisasikan peluang jaringan.
“Saya rasa, pada masa pertama itu banyak peluang yang tidak dihabiskan dan tidak diambil dengan baik. Jadi mungkin ini bukan hari kami.
“Disebabkan peluang terlalu banyak di depan dan apabila pihak lawan berjaya membuat jaringan, maka muncul sedikit rasa putus asa.
“Saya tetap berfikir positif kerana kita masih ada baki 13 perlawanan. Jadi, kita hanya perlu fokus perlawanan demi perlawanan. Saingan seterusnya bertemu Pahang Rangers sudah tentu kami perlu lebih bekerja kuat,” ujarnya.
Sementara itu, awang import Sabah FA, Filipe Laite lega bahawa percaturan pasukannya lebih berhasil dalam memacu kemenangan pertama dalam MPFL musim ini.
Leite yang menjadi salah seorang wira Sabah berjaya mencetak dua gol sekali gus menidakkan kekuatan skuad Selangor.
“Saya tahu Selangor sebuah pasukan yang kuat dan pada musim lalu, mereka menduduki tempat ketiga.
“Namun, saya terfikir jika mereka kuat dan bagus, kita juga perlukan perancangan yang lebih baik untuk mengalahkan mereka,” katanya selepas tamat perlawanan pada Ahad.