GERGASI Bundesliga, Bayern Munich berada dalam krisis selepas mengalami kekalahan tiga kali berturut-turut. Impian Harry Kane untuk memenangi gelaran bersama kelab itu bolah dikatakan terancam.

Bayern tewas 2-3 apabila mereka berkunjung ke kubu Bochum. Jamal Musiala memberikan Bayern pendahuluan pada minit ke-14 tetapi kemudian Bochum mampu menjaringkan tiga gol menerusi Takuma Asano, Keven Schlotterbeck dan Kevin Stoger. Jaringan Harry Kane pada minit ke-87 hanya sekadar mengurangkan kekalahan.

Kekalahan ini bermakna Bayern telah mengalami tiga kekalahan berturut-turut pada minggu lepas. Minggu lalu, mereka tumbang 0-3 di tangan Bayer Leverkusen dan kemudian disusuli dengan kekalahan 0-1 menentang tuan rumah Lazio pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Ketika Bayern tewas, Bayer Leverkusen sekali lagi meraih mata penuh minggu ini selepas menang 2-1 menentang Heidenheim. Hasilnya, Leverkusen kini mengumpul 58 mata, lapan mata di hadapan Bayern Munich.

Rekod ini bermakna Leverkusen kini menjadi pilihan untuk menjadi juara Bundesliga. Kempen Bundesliga kini hanya berbaki 12 perlawanan.

Kedudukan ini bermakna impian Harry Kane untuk menjadi juara bersama kelab yang dimainkannya dalam bahaya. Sebelum ini, Bayern Munich pernah tewas dalam DFB Pokal dan Piala Super Jerman.

Image

Kini, peluang Bayern Munich untuk menang hanya dalam Bundesliga dan Liga Juara-Juara. Harry Kane juga perlu bekerja keras untuk dapat memimpin ‘FC Hollywood’ menuju kejayaan pada baki musim ini.

Daripada statistik sedia ada, Harry Kane jelas kelihatan berbisa musim ini. Dia mampu menjaringkan 29 gol dan lapan bantuan dalam 30 perlawanan bersama Bayern Munich dalam semua pertandingan.

Harry Kane dalam dekad yang lalu telah dikenali sebagai salah seorang penyerang terbaik di dunia. Dia mampu memenangi banyak gelaran individu, terutamanya kasut emas sebagai penjaring terbanyak. Bagaimanapun, dia tidak pernah memenangi kejuaraan, sama ada bersama Tottenham Hotspur atau pasukan kebangsaan England.

Harry Kane kemudian memutuskan untuk berpindah ke Bayern Munich pada awal musim ini dalam usaha untuk memecahkan trend buruk ini. Bayern dikenali sebagai penguasa Bundesliga dan sentiasa menjadi juara dalam 11 musim terakhir.