KELAB Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) memeterai perjanjian kerjasama dengan ATF Sport Taping, sebuah jenama pita sukan buatan Malaysia.
Menerusi kerjasama ini, ATF menjadi Rakan Pita Sukan Rasmi skuad Jang bagi musim 2024/2025 dan menjadi pembekal pelbagai jenis pita sukan yang berkualiti seperti pita rigid, pita kinesio, sport bandage, underwrap, healing boots dan bag fisioterapi.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, mereka amat teruja dengan kolaborasi antara NSFC dan ATF Sport Taping, produk tempatan yang memiliki reputasi dan imej antarabangsa.
“Tahun lepas ATF telah umumkan kerjasama dengan pasukan ragbi 7 sebelah kebangsaan Fiji yang merupakan pemenang pingat emas Olimpik Rio dan Tokyo dan tahun ini sudah pasti kita amat berbesar hati dapat berkolaborasi dengan ATF Sport Taping,” katanya dalam kenyataan kelab pada Isnin.
Menurut Pengerusi NSFC, YTM Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, kerjasama ini diharap dapat meningkatkan nilai jenama NSFC.
“ATF merupakan jenama yang sedang meningkat naik dan saya yakin imej dan reputasi yang ATF miliki mampu memberi impak positif kepada nilai jenama kelab dan prestasi pemain-pemain kita,” ujarnya.
Bagi Pengarah Urusan ATF Sport Taping, Azmir Zanul Abdin, beliau optimis kerjasama kali ini dapat membantu pemain melalui produk-produk mereka selain mengembangkan perniagaan di Negeri Sembilan.
“Pertama sekali saya amat bersyukur kerana dapat kembali bekerjasama dengan Negeri Sembilan dan berharap para pemain dapat bermain lebih baik dengan menggunakan produk-produk kami secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi perniagaan kami di sini,” katanya.
Sesi menandatangani kontrak yang berlangsung di Wisma PBNS dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus dan Pengarah Urusan ATF Sport Taping, Azmir Zanul Abdin sambil disaksikan Pengarah Teknikal NSFC, Efendi Abdul Malek.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, ATF Sports Taping telah berkembang pesat dan menjadi jenama peneraju pita sukan keluaran tempatan. Komitmen ATF dalam menghasilkan produk yang berkualiti diterjemahkan dengan penggabungan bersama Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi keperluan atlet.