BEKAS ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun memilih detik terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak adalah ketika membantu JDT muncul juara Piala AFC pada 2015.

Hariss yang juga kapten pasukan kebangsaan Singapura beraksi selama lapan musim bersama Harimau Selatan berjaya menjulang 15 piala bermula dari 2014 hingga 2021.

JDT menewaskan Istiklol FC 1-0 hasil jaringan Leandro Velazquez dalam aksi final di Dushanbe, Tajikistan sekaligus melakar sejarah kelab Asia Timur dan Asia Tenggara pertama muncul juara kejohanan tier kedua bola sepak Asia itu.

JDT muncul juara sulung Asia Timur menjulang Piala AFC

“Detik terbaik dalam karier saya sebagai pemain bola sepak adalah menjuarai Piala AFC bersama pasukan lama saya, Johor Darul Ta’zim.

“Ketika itu pada 2015 disebabkan beberapa keadaan, kami layak ke final menentang Istiklol FC di laman lawan dengan suasana stadium yang penuh serta malam yang dingin.

“Kami menghadapi pelbagai cabaran dan akhirnya berjaya mengatasinya sekali gus memberikan perasaan yang hebat buat kami dan juga seluruh penyokong Johor.

Rekod kejayaan Hariss di JDT

“Untuk menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara melakukan perkara itu adalah satu saat yang paling manis untuk pasukan dan buat saya terutamanya,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya.

Hariss kini beraksi buat kelab gergasi Singapura, Lion City Sailors yang turut beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2023-24 selain mempunyai kerjaya sebagai perunding hartanah di Singapura.