KELIBAT pemain kacukan Malaysia-Sweden, Junior Eldstal atau turut dikenali sebagai Putera Nadher Amarhan di sesi latihan pramusim bersama JDT hari ini, menjadi bualan dan tanda tanya di media sosial.
Adakah pemain berusia 32 tahun itu bakal kembali menyertai kelab gergasi bola sepak tanah air iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT)?
Laman rasmi bola sepak JDT sendiri telah memberi bayangan dalam memuat naik dua keping foto Junior bersama-sama Nicolao Cardoso dan Safiq Rahim, pada Rabu.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang makluman rasmi daripada JDT mahupun dirinya mengenai status semasa Junior bersama skuad Harimau Selatan itu.
Sebagai rekod, Junior yang sebelum ini meninggalkan JDT bagi menyertai Dewa United FC sekitar hujung Julai tahun lalu dan dilihat terbabit beraksi dalam kancah Liga 1 di negara jiran, Indonesia.
Bersama kelab berkenaan, Junior telah mempamerkan lima aksi iaitu semasa bertemu dengan RANS FC, Persija Jakarta, Persikabo 1973, Bhayangkara FC dan Persita.
Tambahan, pada tahun 2022, Junior telah bersama dengan JDT II dan berjaya menghasilkan satu gol dalam satu perlawanan yang diturunkan pada saat itu.