PENYERANG baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales berpeluang cemerlang untuk menambah koleksi kejuaraan dalam arena bola sepak tempatan.
Sejak debutnya dalam Liga M enam tahun lalu, Morales hanya mengangkat Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur (KL) City pada 2021 dan menjadi naib juara Piala AFC 2022.
Morales, 26, yang baharu menerima kerakyatan negara ini Disember lalu berpotensi untuk menyumbang lebih banyak gol dan mungkin merasai kegembiraan merangkul semua trofi dalam Liga M, termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia.
Hal ini disokong oleh reputasi besar JDT dengan skuad Harimau Selatan yang dikenali akan dominasi dalam Liga M, seperti yang telah mereka lakukan pada tahun 2022 dan 2023.
Tidak hanya itu, Morales juga berpeluang untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak kelab Asia, Liga Elit Juara-Juara Asia (ACLE).
Pemain dari Villavicencio, Colombia itu yang menjadi antara muka baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon berterima kasih atas keyakinan Harimau Selatan merekrut khidmatnya.
“Sangat teruja dengan cabaran baru dalam kerjaya saya. Ia satu penghormatan untuk berada di sini mewakili kelab hebat @officialjohor (JDT).
“Saya sentiasa mempunyai keinginan yang sama untuk menyumbang dan memberikan yang terbaik kepada pasukan.
“Terima kasih kepada semua orang yang menjadikannya kenyataan terutama terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Mahkota Ismail) untuk peluang ini!,” kata pemain naturalisasi Harimau Malaya tersebut.
Morales memulakan kariernya di Liga M bersama PKNS pada 2018 hingga 2019 sebelum berpindah ke Melaka United (2020) dan tiga musim bersama KL City (2021-2023).
Selepas lima tahun tinggal di negara ini, pada 19 Disember 2023, Morales telah dinaturalisasikan sebagai warganegara Malaysia.
Dia membuat penampilan sulung rasmi menentang Jordan semasa peringkat kumpulan pada Piala Asia AFC 2023 yang diadakan di Qatar.
Bukan itu sahaja, dia menjaringkan gol pertamanya untuk Malaysia pada 25 Januari 2024 dalam jaringan penyamaan 90+14 masa kecederaan dalam keputusan seri 3–3 menentang Korea Selatan.