SELANGOR FC melancarkan kempen ‘Ramadan Relief: Bring Hope for Gaza‘ menerusi Red Giants Care dalam usaha kelab untuk memberikan harapan buat rakyat Palestin di Gaza merasai kenikmatan berbuka puasa ketika bulan Ramadan.

Inisiatif mulia ini dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik Selangor FC, Global Sadaqah yang sudah menjalin kerjasama bersama sejak 2021 dengan sasaran RM100,000 yang akan disalurkan kepada mereka yang sedang terjejas dengan serangan dari rejim Zionis.

Red Giants Care adalah sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang menguruskan aktiviti skuad Selangor FC serta kelab-kelab dibawah kelolaannya untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Sejak dilancarkan pada 2021, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilakukan Selangor FC dan Global Sadaqah dalam usaha meringankan beban yang mereka yang memerlukan dan kini fokus diarahkan kepada Gaza yang dilanda konflik.

Sehingga kini sebanyak lebih RM11,000 berjaya dikumpul dan angka ini dijangka bertambah selepas mendapat lebih banyak kesedaran dari para penyokong untuk sama-sama membantu saudara seagama di Palestin.

Sebelum ini Selangor FC dan Global Sadaqah juga turut melakukan pelbagai kempen dengan setiap pembelian tiket aksi Gergasi Merah, para penyokong dapat menyumbang RM5 untuk didermakan kepada mana-mana kempen kemanusiaan yang diuruskan.

Angka RM11,000 ini dijangka akan meningkat apabila Selangor FC bakal menyertai Program Madani Rakyat anjuran Kerajaan Negeri Selangor pada 25 Februari di Stadium Kuala Selangor sebagai sebahagian acara ramah mesra bersama para penyokong.