PENGENDALI Gombak TOT United, Qusmaini Noor Rusli nyata berpuas hati dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemainnya selepas berjaya mencatat kemenangan pertama dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024.
Gombak TOT United mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit menewaskan Sabah FA 7-5 dalam aksi futsal yang cukup menarik di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.
Skuad TOT mendahului 4-2 pada suatu ketika sebelum diikat 5-5 oleh Sabah tetapi berjaya mengambil kesempatan kesilapan lawan untuk menang sekali gus memungut tiga mata pertama musim ini.
“Syukur kerana selepas mengalami kekalahan pertama minggu lalu kita banyak melakukan penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan dengan para pemain juga sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pemain
“Saya cuba membaca permainan Sabah kerana bukan mudah untuk menewaskan mereka yang mana saya memerlukan kekuatan seluruh pemain dan mereka berjaya mengikut arahan serta dapat memanfaatkan peluang walaupun ketinggalan pada suatu masa.
“Apa yang kami sasarkan dalam perlawanan ini hanyalah mata dan pada mulanya saya menerima sahaja jika keputusan seri untuk satu mata tetapi kita berjaya mendapat tiga mata selepas mengambil kesempatan keatas kesilapan lawan.
“Kami menghadapi masalah apabila Sabah bermain ‘power play’ lebih awal dan kami tidak menjangka perkara itu berlaku hingga mereka berjaya menjaringkan tiga gol.
“Namun pemain berjaya serap tekanan dan akhirnya kami menjaringkan dua gol lewat sekaligus mendapat kemenangan pertama musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Kemenangan ini menyaksikan Gombak TOT United melonjak ke tangga keempat MPFL 2024 dari kedudukan tercorot dengan tiga mata dan kini akan kembali berlatih sebagai persediaan untuk menghadapi Terengganu selepas ini.