PENGENDALI skuad futsal Pahang Rangers, Gerard Casas mahu para pemainnya turun dengan mentaliti yang lebih kuat apabila berhadapan Selangor FC di laman sendiri untuk mencari tiga mata penuh pertama dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan 2024.
Ini selepas juara bertahan itu sekadar seri 6-6 dengan Shah Alam City dalam perlawanan pembukaan yang menyaksikan Gerard kecewa dengan keputusan itu yang dianggap sebagai kurang memuaskan.
“Saya jangkakan satu perlawanan yang sukar kerana Selangor pastinya mahu bangkit selepas tewas pada perlawanan pembukaan tetapi fokus kami hanyalah mahukan tiga mata penuh.
“Kembali beraksi di Sukpa sudah pasti akan memberikan semangat tambahan buat kami dan saya berharap para pemain akan tampil dengan mentaliti yang lebih kuat untuk mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Perkara yang sama juga dituntut kapten pasukan Akmarulnizam Idris yang turut senada dengan jurulatihnya yang menjangkakan satu perlawanan sukar dan mahu dia serta rakan-rakan membuka kempen di Sukpa dengan kemenangan.
“Selangor ibarat harimau terluka selepas memulakan kempen dengan kekalahan jadi sudah tentu mereka tidak mahu berputih mata sekali lagi tetapi kami bermain di laman sendiri dan mahu memulakan perlawanan di Sukpa dengan kemenangan,” jelasnya.
Sementara itu kapten bersama Selangor FC, Khairul Effendi berkata meskipun kekalahan pada perlawanan pertama sedikit mengganggu terganggu tetapi dia dan rakan sepasukannya tidak sabar untuk bertemu juara bertahan itu.
“Sudah semestinya mental dan fizikal pemain ada sedikit terganggu tetapi untuk berdepan Pahang Rangers, pasukan juara musim lalu, ditambah bermain di Sukpa menjadikan para pemain tidak sabar hendak beraksi,” ujarnya.
Kemenangan akan memastikan Pahang Rangers kembali ke landasan yang tepat untuk mengurangkan tekanan bagi mengejar pencabarutama, Johor Darul Ta’zim yang sudah mencatat dua kemenangan dari dua perlawanan awal.