PELUMBA basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dirinya kini layak digelar ‘The Pocket Rocketwoman’ selepas memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India pada Ahad.

Dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi, Izzah Izzati yang berusia 21 tahun mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pencabar terdekat dari China, Tong Mengqi yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi.

Izzah dan Anis memperagakan pingat yang dimenangi. 📸 Shah Firdaus

Emas yang dimenangi Izzah itu adalah pingat peribadi ketiganya dalam kejohanan kali ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan bersama Anis dan Nur Aliana Syafika Azizan selain gangsa bagi acara pecut individu.

Dalam pada itu, saingan kategori para menyaksikan gandingan negara, Ahmad Ahlami Mohamad-Khairul Adha Rasol sebagai jurumudi meraih emas selepas menewaskan rakan sepasukan Khairul Hazwan Wahab dan jurumudi Arfy Qhairant Amran dalam final pecut tandem (B) lelaki.

Malaysia turut meraih emas dalam acara pecut tandem (B) wanita menerusi Nur Azlia Syafinaz Zais-Farina Shawati Adnan (jurumudi) yang menewaskan Nur Suraiya Zamri-Nurul Suhada Zainal (jurumudi) dalam final yang turut membabitkan perhitungan antara dua wakil negara.