PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menyatakan kemenangan pasukannya dalam final Piala Carabao menewaskan Chelsea adalah trofi paling istimewa yang pernah dimenangi sepanjang kariernya sebagai jurulatih.
Pengendali Jerman itu menjulang trofi ke-10 sejak mengendalikan Liverpool selepas jaringan lewat kapten pasukan, Virgil Van Dijk memastikan The Reds menang 1-0 dalam aksi di Stadium Wembley, London pada Ahad.
Meskipun dilanda krisis kecederaan, pemain-pemain Liverpool berjaya mengikut arahan yang diberikan Klopp seterusnya mencatat rekod baharu kejohanan dengan muncul pasukan pertama menjuarai Piala Carabao sebanyak 10 kali.
“Sepanjang 20 tahun sebagai pengurus, ini sememangnya trofi paling istimewa pernah saya menangi. Saya tidak peduli tentang legasi kerana ianya bukan tugas saya tetapi kejuaraan ini sangat istimewa.
“Apa yang berlaku di sini sangat tidak masuk akal, perkara ini seakan-akan mustahil. Skuad ini dipenuhi pemain dari akademi dan saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.
“Kami berhak untuk mendapat kejayaan ini, kami mempunyai beberapa peluang begitu juga mereka tetapi pemain hadir dengan semangat dan ini adalah sesuatu yang sangat mengujakan,” katanya yang bakal meninggalkan Liverpool musim panas ini.
Sementara itu penjaring gol kemenangan yang juga kapten pasukan, Virgil Van Dijk pula berbangga apabila berjaya menjulang trofi pertama sebagai kapten dan memberikan kemenangan ini kepada semua penyokong Liverpool.
“Kemenangan ini adalah untuk semua penyokong, ayuh raikannya. Ianya satu perlawanan yang cukup sengit dan saya berasa hebat memenangi piala pertama sebagai kapten.
“Kami berjaya laksanakan tugas meskipun dilanda pelbagai masalah sebelum perlawanan dan saya bangga untuk berada di kelab ini dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan para pemain muda ini.
“Saya tidak mahu berkata terlalu awal tetapi kami berharap dapat memenangi beberapa lagi piala musim ini,” jelasnya selepas perlawanan.
Kelab Anfield itu beraksi tanpa beberapa pemain utama termasuk Mohamed Salah, Diogo Jota dan Darwin Nunez dan Klopp menurunkan lima pemain bawah 20 tahun sekali gus menjadikan purata umur skuad sekitar 22 tahun.