MUSIM baharu Liga Wanita Nasional (LWN) akan bertambah meriah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan 10 pasukan akan mengambil bahagian selain format pertandingan baharu akan diperkenalkan.
LWN yang dimulakan pada 2023 adalah satu platform buat semua pemain bola sepak wanita dalam negara bersaing bagi merebut kejuaraan selain mendapat peluang untuk mewakili skuad Malayan Tigress.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob selain turut mengumumkan pertambahan wang kemenangan bakal diberikan buat juara liga yang kini memasuki musim kedua.
“Kita sudah ada 10 pasukan dengan format yang akan dijalankan adalah ‘home and away’ dan yang paling penting 95 jumlah keseluruhan permainan akan berlangsung sekaligus LWN akan menjadi platform kompetitif untuk semua pasukan dengan wang kemenangan yang meningkat berbanding musim lalu.
“Pemain yang berada pada pasukan ini boleh dipilih mewakili Malaysia selepas ini untuk beraksi di Sukan SEA, Pusingan Kelayakan Piala Asia, Kelayakan Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik kerana ini adalah peluang untuk para pemain tonjolkan diri mereka.
“Kami juga sedar kos yang akan meningkat dengan format ‘home and away’ ini jadi kami akan bentangkan kepada Setiausaha Agung FAM bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini supaya tuan rumah tidak terbeban dengan penganjuran perlawanan,” katanya ketika ditemui di Majlis Townhall Bola Sepak Wanita di Petaling Jaya.
Selain itu, Suraya juga menyatakan bagi meningkatkan lagi daya saingan Liga Wanita Nasional, FAM sedang meneliti cadangan untuk membenarkan kemasukan pemain import untuk menambah kualiti namun ianya hanya akan dilaksanakan pada musim hadapan.
“FAM juga akan memperkenalkan pemain import tetapi buat masa ini kami hanya fokus kepada musim ini terlebih dahulu dengan memastikan liga berjalan dengan lancar dan akan menambah tahap kompetitif liga ini di masa hadapan,” jelasnya.
Sebagai rekod, Sabah muncul juara sulung Liga Wanita Nasional 2023 selepas menduduki tangga teratas liga dan kini musim 2024 bakal kembali dengan lebih pasukan dan lebih cabaran.