PELUMBA berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri meneruskan aksi cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India selepas meraih pingat emas kedua selepas memenangi aksi final 500 meter ujian masa wanita di Velodrom Indira Gandhi pada Isnin.
Izzah melakukan catatan masa 34.388 saat untuk mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon-Seo yang mencatat 34.802s untuk pingat perak manakala gangsa pula menjadi milik Luo Shuyan juga dari China dengan catatan 34.958s.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pelumba berusia 19 tahun itu dapat menebus kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih perak dalam acara yang sama.
Izzah membuktikan dia jaguh dalam pembikinan apabila turut memenangi emas menerusi acara keirin elit wanita pada Ahad selain merangkul perak pecut berpasukan wanita dan gangsa pecut individu wanita.
Dalam kategori lelaki pula, Muhammad Ridwan Sahrom pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat keseluruhan dalam acara 1 kilometer ujian masa lelaki dengan catatan masa 1:02.452s.
Pingat emas dimenangi pelumba China, Li Zhiwei menerusi catatan masa 1:00.875s diikuti Minato Nakaishi dari Jepun memenangi perak dengan masa 1:02.101s manakala gangsa milik pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi yang mencatat masa 1:02.406s.