PENYOKONG pasukan Negeri Sembilan FC boleh dianggap bertuah apabila pengurusan baharu kelab membuat keputusan untuk mewujudkan empat ‘home venue’ buat semua skuad yang bernaung di bawah Negeri Sembilan FC.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus menyatakan empat daerah telah dipilih sebagai venue tuan rumah melibatkan pasukan Liga Super, Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.
Skuad Liga Super akan berpangkalan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi manakala skuad B-23 pula akan menjadikan Stadium Mini Tampin sebagai venue tuan rumah.
Manakala dua lagi pasukan pelapis, skuad Piala Presiden B-20 dan Piala Belia B-18 pula akan menggunakan ‘home’ yang terletak dalam daerah Rembau dan Kuala Pilah.
Faliq menjelaskan keputusan membahagikan keempat-empat skuad tersebut kepada empat buah daerah berbeza adalah untuk memastikan padang di Stadium Paroi tidak teruk ‘dibelasah’ dan memastikannya berada dalam keadaan yang optimum.
“Untuk memastikan keadaan padang berada dalam keadaan optimum, keputusan kami adalah skuad Liga Super sahaja akan bermain di Seremban, Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
“Skuad B-23 main di Tampin, Skuad B-20 main di Rembau, Skuad B-18 di Kuala Pilah, jadinya setiap pasukan dapat satu daerah,” katanya ketika ditemui para pengamal media.
Dalam perkembangan yang sama juga Faliq menyatakan pihaknya sudah mewujudkan jawatan Ketua Unit Pembangunan bagi memastikan semua bakat-bakat baharu yang dilahirkan pasukan tempatan di Negeri Sembilan diberikan perhatian sewajarnya.
Menerusi perkongsiannya di podcast Bola Sepak Bermaruah itu, pengurusan baharu NSFC jelas mempunyai perancangan masa depan disamping menjimatkan kos pengurusan supaya masalah kelewatan pembayaran gaji tidak berlaku sekali lagi pada musim baharu nanti.