TINDAKAN tegas termasuk penamatan kontrak, akan diambil Majlis Sukan Negara (MSN) terhadap jurulatih yang didapati bersalah, terlibat dalam salah laku terhadap program latihan sukan kebangsaan.
MSN dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan, sedang menyiasat dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang yang dipercayai wanita, terhadap atlet di bawah jagaan beliau sebagaimana dilaporkan sebuah media sebelum ini.
Menurut MSN, pihaknya tidak pernah berkompromi dan melindungi mana-mana atlet mahupun pegawai yang terbabit salah laku sedemikian.
“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan Jawatankuasa telah memulakan siasatan dengan segera, termasuk menemubual pihak-pihak berkaitan.
“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihiak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terlibat,” kata Cawangan Komunikasi Korporat MSN dalam kenyataan media yang diedarkan.
Tambah kenyataan itu lagi, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidask mencetuskan spekulasi mahupun menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.
“Perlu ditegaskan bahawa MSN tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini dan dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.
“MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN.
“Langkah-langkah komprehensif menjaga keselamatan dan kebajikan atlet-atlet para di bawah Program MSN turut dititik beratkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet-atlet yang bertanding di pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu.