KEJAYAAN meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, membangkitkan hasrat pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk berada dalam program Road to Gold (RTG).
Mendominasi acara 500 meter (m) ujian masa dan keirin wanita di New Delhi, meletakkan Nurul Izzah sebagai antara pelumba pecut wanita yang digeruni di rantau Asia.
Menurut Nurul Izzah, kejayaan itu meletakkan dirinya di landasan tepat bagi mempersiapkan diri memburu slot Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, malah berharap diserap masuk ke program RTG.
“Saya harap dapat masuk dalam program Road to Gold untuk Sukan Olimpik seterusnya di Los Angeles. Kita pun sudah mulakan persiapan untuk ke temasya itu.
“Paling penting saya perlu bekerja keras dan tengok andai ada rezeki, boleh diserapkan atau tidak,” katanya, ditemui di Veledrom Nasional, Nilai, sejurus pulang ke tanah air dari New Delhi.
Ketika ini, RTG mempunyai 15 atlet termasuk dua jaguh berbasikal trek iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwomen oleh Pengarah Teknikal, John Beasley, turut melakar sejarah kali pertama memenangi pingat emas acara keirin di kejohanan sebenua itu, kini mula mendapat keyakinan untuk bersaing dengan pelumba ternama dunia yang lain.
Justeru, Nurul Izzah, 21, memasang impian untuk memecah rekod kebangsaannya pada Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong, Mac depan.
“Untuk UCI ini saya sasarkan masa dalam acara 200 meter dan acara pecut berpasukan yang saya boleh pecahkan rekod kebangsaan ataupun saya individu.
“Namun, masih banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki,” katanya.