PEMAIN pertahanan muda Terengganu FC, Azam Azmi Murad sah menandatangani kontrak bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan bola sepak musim 2024/2025.

Namun, dirinya masih akan bermain untuk pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner atas sebab berstatus pemain pinjaman kepada skuad Sang Penyu.

Menurut pengumuman yang telah dimuatnaik menerusi laman rasmi Instagram JDT, bukan hanya Azam, malah beberapa lagi pemain telah sah menandatangani kontrak bersama pasukan gergasi, Harimau Selatan itu.

Manuel Hidalgo dari Kedah Darul Aman, Declan Lambert dan Ryan Lambert dari Kuala Lumpur (KL) City FC antara yang bersama menyertai pasukan JDT.

“Kami juga dalam perbincangan untuk menandatangani seorang penjaga gol. Azam dan Declan masing-masing telah dipinjamkan semula ke Terengganu dan KL manakala Hidalgo akan dipinjamkan ke Pahang.

“Sementara itu, Ryan akan berlatih dengan pasukan utama Harimau Selatan, dan sama ada akan dipinjamkan atau diserap ke dalam skuad JDT musim 2024-25,” menurut kenyataan Alistair Edwards yang dimuat naik ke laman rasmi JDT.