PERSEKUTUAN Bola Sepak Asean (AFF) dan Mitsubishi Electric, rakan kongsi utama kejohanan melancarkan logo baharu dan identiti jenama untuk acara itu pada Khamis.

Sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula, pertandingan utama rantau ini yang dahulunya dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric, juga telah dinamakan semula sebagai Asean Mitsubishi Electric Cup 2024.

Sebanyak 10 pasukan Asia Tenggara akan bersaing untuk memenangi gelaran kejohanan edisi ke-15, hadiah paling diidamkan di rantau ini akan diadakan bermula 23 November hingga 21 Disember.

Logo baharu itu akan menjadi sebahagian daripada keluarga baharu jenama acara AFF untuk pertandingan utama mereka yang akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

Diadakan dua tahun sekali, Asean Mitsubishi Electric Cup merupakan acara bola sepak terbesar di rantau ini. Sejak penubuhannya pada tahun 1996, pertandingan yang menampilkan pasukan kebangsaan Asean telah berkembang secara drastik dengan setiap edisi.

Pada tahun 2022, Piala AFF Mitsubishi Electric mencapai rekod 438+ juta penonton di televisyen dan platform penstriman digital. Selain itu, saluran media digital Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan X mencatatkan 4.2 bilion tontonan video berkaitan acara.

Undian rasmi dijadualkan diadakan pada 21 Mei di Hanoi, Vietnam.