PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) antara penerima peruntukan program Road to Gold (RTG) tertinggi sepanjang tahun 2023 iaitu lebih daripada nilai RM 1.82 juta.
Jumlah keseluruhan peruntukan RTG adalah sebanyak RM 3.53 juta dan ianya telah dikongsikan bersama lima bidang sukan berlainan termasuklah badminton.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa RTG bahawa segala perbelanjaan yang digunakan dalam program tersebut bertujuan khas untuk memangkin semangat atlet khususnya di Kejohanan Olimpik Paris 2024.
“Penerima peruntukan RTG tertinggi adalah atlet badminton (BAM) dan disusuli oleh atlet badminton profesional lebih RM 1 juta, atlet berbasikal pula sebanyak RM465,239.66 seterusnya atlet terjun RM458,177.45.
“Selain itu, pemain hoki Malaysia menerima RM342,903.62 dan angkat berat sebanyak RM20,025.44,” ujar Stuart di Institut Sukan Negara (ISN) pada Khamis.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menambah bahawa jumlah peruntukan yang dikeluarkan itu hanya bagi tahun 2023 manakala jumlah peruntukan untuk tahun ini pula akan dilaporkan pada penghujung musim.
“Ingin saya tambah, contohnya seperti Lee Zii Jia pula, walaupun dia tidak tandatangani kontrak RTG bersama kami, itu tidak bermakna kita tidak membantu dia jika dia layak ke Olimpik Paris nanti,” tambah Hannah.
Senarai terbaharu program RTG menyaksikan seramai 13 atlet yang berada di bawah program tersebut.
Skuad badminton melibatkan paling ramai atlet iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin Teo Ee Yi, Pearly Tan, M Thinaah, Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Eei Wei.
Turut kekal dalam senarai ialah dari sukan berbasikal iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Rhodict (terjun).
Artikel Berkaitan: Sah… Pandelela, Dhabitah tersingkir dari RTG