JURULATIH skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memilih untuk mengekalkan kestabilan dalam skuad Harimau Malaya dengan memilih pemain berpengalaman sebelum ini dan menambah dengan muka baharu yang berpotensi.

Kem latihan pusat kali ini akan bermula pada 8 Mac 2024 di Kelana Jaya.

Berdasarkan senarai dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pan-gon telah mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain dari skuad Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.

“12 pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah penjaga gol Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC; Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC; Haqimi Azim Rosli dari Kuala Lumpur City FC dan T. Saravanan dari Sri Pahang FC,” kata Pan-gon dalam kenyataan FAM pada Jumaat.

Bagaimanapun, sebahagian daripada 33 pemain ini akan melapor diri lewat pada 15 Mac 2024 dan sejurus selepas kehadiran mereka itu nanti, beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido.

“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.

“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.

“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” katanya lagi.

May be an image of 1 person and text

Kim Pan-gon mempunyai misi penting membimbing Harimau Malaya menentang Oman bulan depan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman pada 21 Mac 2024 di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat sebelum terbang pulang bagi perlawanan keempat bertemu juga Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Republik Kyrgyz di Taipei pada 21 Mac 2024 sebelum Republik Kyrgyz menanti kunjungan Chinese Taipei di Bishkek pada 26 Mac 2024.