Foto: Malaysian Hockey Confederation
NAIB juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, Terengganu Hockey Team (THT) bersedia untuk mengulangi kejayaan apabila menghadapi Liaoning Hockey Club dalam suku akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom, menegaskan bahawa pasukannya bermotivasi tinggi untuk menentang pasukan dari China tersebut.
“Saya mengakui bahawa pada perlawanan liga sebelum ini, walaupun THT menang 5-2, anak-anak buah kami menghadapi tentangan sengit. Untuk perlawanan Piala TNB, kami tidak akan meremehkan cabaran yang dihadapi.
“Kami akan memulakan dengan penambahbaikan dan semangat baru. Segala analisis telah dilakukan untuk bersedia menghadapi Liaoning, terutamanya dari segi fizikal,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Harfizi turut memuji persembahan keseluruhan THT dalam kempen Liga MHL, di mana pasukannya bermain dengan sangat baik walaupun tanpa tonggak import dan kehilangan beberapa pemain utama.
“Pemain-pemain kami sentiasa berusaha untuk menyaingi pasukan-pasukan hebat. Alhamdulillah, pasukan THT juga tidak menghadapi masalah kecederaan sepanjang kempen,” tambahnya.