JUARA dunia, Max Verstappen mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua Grand Prix Kanada namun hanya dipisahkan 0.081 saat dari pencabar utama Charles Leclerc di Litar Gilles Villeneuve, Montreal.
Pemandu Red Bull itu mencatat masa 1 minit 14.127saat untuk mendahului Leclerc manakala satu lagi pelumba Ferrari, Carlos Sainz ketiga dan kejutan dilakukan pemenang 2018, Sebastian Vettel yang berjaya membawa jentera Aston Martin nya untuk tempat keempat terpantas ketinggalan hanya 0.315 saat.
Fernando Alonso juga kelihatan pantas apabila meletakkan jentera Alpine di tangga kelima diikuti pelumba Alpha Tauri, Pierre Gasly di tempat keenam dan George Russell ketujuh.
Dua pelumba McLaren Lando Norris dan Daniel Ricciardo masing-masing di tempat kelapan dan kesembilan dengan seorang lagi pelumba Alpine, Esteban Ocon melengkapkan 10 pelumba terpantas.
Pemenang Grand Prix Monaco Sergio Perez kecewa apabila hanya menamatkan sesi latihan di tempat ke-11 dihadapan Lance Stroll manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton hanya mampu mencatat masa ke-13 terpantas, ketinggalan 0.4 saat berbanding Russell.
Kevin Magnussen ke-14 mengatasi rakan sepasukan Mick Schumacher di tempat ke-15 manakala pelumba Alfa Romeo, Guanyu Zhou ke-16 dan Yuki Tsunoda yang melakukan pusingan terbanyak sesi ini di tempat ke-17.
Dua pelumba Williams Alex Albon dan Nicholas Latifi masing-masing di tempat ke-18 dan 19 dihadapan Valtteri Bottas yang gagal mencatat sebarang masa akibat masalah pada jenteranya.
Sesi kelayakan Grand Prix Kanada akan berlangsung pada jam 4 pagi Ahad waktu Malaysia dengan Max Verstappen sudah pasti mahukan petak pertama untuk perlumbaan pada pagi Isnin nanti.