KEJUARAAN pertama diraih Tay Jun Qian pada Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan, meningkatkan keazamannya untuk memahat nama di pentas profesional.

Pemain yang mewakili Selangor itu, menjuarai kategori Bawah 19 tahun lelaki (B-19) Remaja Kebangsaan 2024, selepas menewaskan wakil Kuala Lumpur, Hashvind Kugan dalam pertarungan lima set, di Kompleks Skuasy Jalan Duta.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, Jun Qian menang 11-6 pada set pertama, dikejutkan dengan kebangkitan Hashvind pada dua set berikutnya (9-11, 7-11) sebelum merampas semula dengan kemenangan 11-6, 11-6 dalam aksi yang berlanjutan selama 50 minit.

“Kemenangan ini meningkatkan motivasi saya untuk bermain lebih baik di peringkat profesional kerana saya bermula pro sejak tahun lalu.

“Saya harap dapat memasuki ranking Top 100, namun banyak lagi perlu saya perbaiki kerana kedudukan sekarang lebih 500,” kata Jun Qian, selepas menjulang kejuaraan.

Dia yang juga mewakili Selangor di Sukan Malaysia (Sukma) bagaimanapun belum mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, sebagaimana pemain profesional negara, dalam usaha meningkatkan kualiti permainan.

“Saya belum ada perancangan belajar di luar negara, ketika ini saya mengambil kursus asasi di Kolej Inti Subang.”

Sementara itu dalam acara wanita B-19, U Thanusaa dari Melaka yang menewaskan wakil Negeri Sembilan, Chen Yu Jie.

Thanusaa jelas berada di kelas tersendiri apabila merakam kemenangan straight set, 11-7, 11-2 dan 12-10 dalam tempoh 18 minit.

U Thanusaa bersedia untuk menumpukan perhatian kepada kejohanan profesional (PSA), selepas ini.

Untuk rekod, ia merupakan gelaran kedua diraih Thanusaa dalam saingan remaja kebangsaan selepas muncul juara bawah 17 tahun, dua tahun lalu.

“Tahun lalu saya tak beraksi di kejohanan ini kerana mahu tumpukan kepada kejohanan profesional, jadi terlepas gelaran, jadi tahun ini yang terakhir untuk peringkat remaja, saya kembali.

“Saya sudah jalani latihan keras selama ini, dan ia beri motivasi untuk menumpukan perhatian kepada profesional.

“Saya nak jadi seperti Datuk Nicol David tetapi saya sedar perlu banyak peningkatan lagi dalam pelbagai aspek,” kata Thanusaa.