KETIKA tumpuan terarah kepada slot Olimpik Paris, barisan beregu lelaki negara pula mempunyai misi membuktikan keupayaan mereka pada siri Jelajah Eropah sebelum senarai terakhir untuk skuad Piala Thomas diumumkan.
Kejohanan berpasukan lelaki paling berprestij dunia yang dijangka berlangsung di Chengdu, China, 28 April hingga 5 Mei depan itu, menjadi perebutan antara tiga pasangan negara yang dilihat mempunyai peluang seimbang.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, prestasi semasa bakal menjadi ukuran antara gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Pasangan negara itu dijangka akan menyertai beberapa kejohanan di Eropah antaranya, Terbuka Peranis, Seluruh England, Terbuka Switzerland sebelum menyertai Kejohanan Badminton Asia (BATC) sebelum ke Piala Thomas.
Namun, Bin Shen memberi penekanan kepada Wei Chong-Kai Wun yang dituntut bekerja keras mengatasi segala kelemahan yang ada seandainya berhasrat untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas negara.
Pasangan itu sebelum ini digugurkan dari senarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia bulan lalu, apabila menamakan Hon Jian-Haikal ke kejohanan terbabit.
“Selepas digugurkan dari BATC, memang nampak ada peningkatan prestasi dan dalam latihan juga semakin baik.
“Tapi keputusan di setiap kejohanan masih penting dan saya harap mereka boleh perbaiki masalah mereka di dalam gelanggang itu rasa tekanan dan tidak yakin itu kena lepaskan semua.
“Mereka kena buktikan di kejohanan yang disertai. Mereka pun tahu apa yang mereka perlu lakukan dan dalam mesyuarat pun ada berbincang mengenainya.
“Mereka faham dan mereka perlu atasinya jika tidak mereka main lawan lebih kuat mereka akan kalah,” katanya.
Sementara itu, Bin Shen berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini sudah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sejak kembali di satukan pada Jun tahun lalu.
“Setakat ini Sze Fei-Izzuddin ada peningkatan. Di India mereka main dengan bagus, di Indonesia (Masters Indonesia) kurang sikit dan harap sampai Piala Thomas, Perancis dan Seluruh England mereka akan ok.
“Ketika ini mereka paling bagus antara dua pasangan yang lain. Tapi mereka perlu perlawanan yang lebih mencabar untuk mereka tahu di mana kedudukan mereka,” katanya.