SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati sasaran awal apabila berjaya mencatat satu lagi kemenangan yang juga kejayaan ketiga beturut-turut untuk mengutip sembilan mata maksimum selepas berakhir tiga perlawanan awal Divisyen 1, Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024.
JDT mudah membenam cabaran Shah Alam City 1-4 dalam aksi di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam hasil dua jaringan Caio Cesar manakala masing-masing satu dari Abu Haniffa dan Mahadir Harahap.
Pengendali JDT, Juan Antonio Miguel Garcia nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya namun masih tidak mahu dilabel pasukan pilihan kerana perjalanan liga yang kompetitif.
“Kemenangan ini sangat baik kerana liga ini mempunyai lapan pasukan yang sangat kompetitif dan kami tidak boleh melakukan kesilapan dan perlu memperbaiki kesilapan yang ada untuk kekal sebagai pendahulu.
“Kami kini mempunyai rehat yang panjang dan akan menggandakan latihan serta memastikan pemain pulih dan cergas bagi memastikan momentum kami kekal menjelang perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Shah Alam City, Muizzudin Haris menerima hakikat kekalahan pertama dan menyifatkan barisan JDT lebih berpengalaman namun tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya terutama pada babak kedua.
“Kami terima kekalahan pertama ini dan kita tahu JDT adalah barisan yang cukup baik yang berjaya menghukum di awal permainan hingga menyukarkan kami bangkit namun pemain berjaya menyaingi mereka pada babak kedua,” jelasnya.
JDT dijadualkan bertemu Selangor FC pada perlawanan keempat nanti dan Juan Antonio sudah pasti mempunyai ramuan khas untuk meneruskan rentak kemenangan manakala Shah Alam City akan bertandang ke Terengganu untuk kembali mencari tiga mata penuh.