PEMBUKA tirai Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix yang diadakan di Jasin, Melaka semalam memperlihatkan permulaan yang baik buat pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md Khairi Asyraf Mahmood yang menguasai sesi kelayakan kategori CP125.

Pada permulaan, juara keseluruhan CP125 musim lalu itu selesa menguasai litar Jasin, Melaka dengan catatan masa terpantas 51.667s pada sesi latihan 1 dan 52.181s pada sesi latihan 2.

Khairi tenang memanfaatkan pengalaman yang ada terus mempamerkan prestasi konsisten dan menerajui kedudukan apabila menamatkan sesi kelayakan dengan catatan masa terpantas 52.215s sekali gus meyakinkan meraih kemenangan pada perlumbaan hari ini.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk diri saya. Dari segi jentera saya, mereka telah membuat pelarasan yang agak baik untuk saya, jadi saya cuma fokus jalankan tugas saya untuk perlumbaan esok (hari ini). Sudah pasti persaingan sengit lebih-lebih lagi dengan barisan pelumba yang agak kompetitif namun begitu, saya akan berikan yang terbaik,” kata pelumba kelahiran Johor itu.

Selepas Khairi, pelumba yang meraikan kedudukan kedua adalah rakan sepasukannya, Md Shafiq Ezzariq yang mencatat masa terpantas 52.437s diikuti wakil Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing Md Syamil Amsyar M Iffende dengan catatan 52.493s.