KETIBAAN bakal penyerang Perak FC, Stipe Plazibat di KLIA menandakan isyarat skuad The Bos Gaurus bersedia melakukan kebangkitan luar biasa pada baki saingan Liga Premier musim ini.

Berdasarkan video berdurasi 1 minit 54 saat yang dimuatnaik oleh YouTube TBG TV pada Sabtu, Plazibat tampak bersemangat dan tidak sabar menyertai pasukan di Ipoh.

Kehadiran pemain asal Republik Croatia itu dijangka menajamkan lagi bahagian serangan Perak FC merobek kubu lawan dan membantu keluar segera dari kelompok tercorot liga.

Rekod jaringan Plazibat cukup baik apabila meledak 14 gol dalam 17 penampilan untuk kelab Singapura, Lion City Sailors pada musim 2020/21 menjadikan penjaring terbanyak di Liga Premier Singapura (SPL).

Selain Plazibat, pemain tengah, Luciano Guaycochea (Argentina) dan pemain posisi pertahanan tengah, Sunday Kolawole Afolabi (Nigeria) akan menjalani ujian penilaian dalam perlawanan persahabatan pada Ahad ini bertemu kelab Korea Selatan, Christian Seoul University di Stadium Perak sebelum ditawarkan kontrak.