PERLAWANAN bola sepak amal bagi memperingati Allahyarham Khalid Ali yang diadakan malam tadi jelas perlawanan yang cukup beremosi bagi barisan bekas pemain kebangsaan.
Perlawanan persahabatan di antara Pasukan Jemputan Kelab Sultan Sulaiman (KSS) dan Pasukan Jemputan PKNS FC yang berlangsung di Padang PKNS mendapat sambutan baik apabila berjaya menghimpunkan ramai kenalan Allahyarham Khalid Ali yang kebanyakannya adalah bekas pemain kebangsaan bertaraf legenda.
Antara yang turun beraksi adalah Dato’ Zainal Abidin Hassan, Dato’ Dollah Saleh, Dato’ Ahmad Yusof, Reduan Abdullah, Mat Zan Mat Aris, K Gunalan, Ismail Ibrahim dan P Maniam.
Malah perlawanan itu turut disaksikan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S Sivasundaram, Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad, Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan, Exco FAM, Senator Datuk Hisamudin Yahaya dan bekas jurulatih kebangsaan Datuk K Rajabobal.
Di sebalik kegembiraan dapat kembali bersua dengan bekas rakan sepasukan ketika bersama skuad kebangsaan dan negeri, jauh di sudut hati mereka yang hadir pada perlawanan ini cukup tersentuh dengan pemergian Allahyarham Khalid Ali yang telah meninggal dunia pada 6 Februari lalu.
Antara yang terkesan adalah Dollah yang menganggap wira yang membawa Harimau Malaya layak beraksi di Sukan Olimpik Moscow 1980 itu adalah permata yang sukar di cari ganti.
“Perlawanan amal ini dapat menyatukan kami semua sebab kami bekas-bekas pemain ni dah lama tak jumpa. Bagi saya, arwah Khalid Ali ini sangat rapat dan hubungan kami macam keluarga. Banyak kenangan yang tak boleh dilupakan dalam bola sepak dan kami juga main golf bersama.
“Banyak kenangan pahit manis kami bersama, bergaduh pun ada juga tapi gaduh macam abang adik saja,” katanya.
Pada perlawanan itu juga, Hanafiah Ali, abang kepada Khalid menerima sumbangan hasil kutipan derma buat keluarga Allahyarham selain Datuk Mokhtar menyerahkan jersi Malaysia kepada anak Khalid Ali, Muhammad Afiq.