PERLINDUNGAN hayat mahupun insurans perubatan, bakal menjadi pendekatan terbaharu Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) dalam menjaga kebajikan atletnya selepas ini.
Malah, kemungkinan itu bukan satu angan-angan kerana telah dibincangkan dalam satu mesyuarat Exco badan induk sukan terbabit kelmarin.
Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, perbincangan mengenainya hadir selepas barisan Exco Makaf berasakan mereka perlu bersama-sama kementerian dan Majlis Sukan Negara (MSN), memainkan peranan masing-masing, menjaga kebajikan atlet.
“Exco berasakan penting untuk atlet kita mendapat perlindungan insurans hayat dan perubatan mencukupi sepanjang penglibatan dalam sukan.
“Ini akan membantu melindungi mereka dari risiko kewangan yang berkaitan dengan kecederaan atau penyakit yang mungkin berlaku semasa berlatih atau bertanding,” kata Nur Azmi.
Tambah beliau, sebagai pentadbir dan pengurusan sukan, mereka mahu menjaga kesejahteraan atlet yang menjadi aspek penting dalam pembangunan sukan negara: “Menjaga kebajikan atlet adalah tanggungjawab bersama bagi pihak berkuasa sukan dan pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan sukan.
“Selepas mengetengahkan isu ini, barisan Exco sudah bersetuju untuk kita mendapatkan quotation dari syarikat insurans yang ada dan akan diputuskan pada Mei nanti, pada mesyuarat Exco akan datang.”
Perkongsian Nur Azmi itu hadir selepas diminta mengulas insiden melibatkan seorang pesilat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, yang meninggal dunia selepas menyertai pertandingan di Negeri Sembilan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa setiap sukan terutamanya sukan tempur, mempunyai kaedah pencegahan awal bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku.