KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mengucapkan terima kasih kepada lapan pemain import mereka atas sumbangan dan perjuangan hebat mereka dalam musim 2023.

Prestasi cemerlang dan semangat juang yang mereka tunjukkan telah membantu mengangkat mutu permainan pasukan dan memberikan impak positif kepada pasukan, menjadi inspirasi bagi kita semua.

“Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson, dan Jonatan Balotelli atas dedikasi mereka sepanjang musim. ‘

“Sumbangan mereka bukan sahaja di padang tetapi juga dalam membina semangat kumpulan dan menjaga profesionalisme dalam menghadapi beberapa isu di pertengahan musim, telah membantu KDA FC mencapai matlamat mereka untuk menduduki tangga ke-4 Liga Super musim 2023,” tulis kenyataan kelab itu pada Isnin.

Untuk musim baharu dalam Liga Super 2024-2025, pihak pengurusan KDA FC membawa haluan baru dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain import bersama kelab baru.

“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada keluarga Kedah Darul Aman FC,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, kelab utara tanah air itu juga mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada barisan pemain tempatan atas dedikasi mereka sepanjang musim.

Pemain terbabit adalah, Rodney Celvin Akwensive, Mior Dani Armin Mior Ariffen, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Mohammad Zharmein Ashraf Ismail, dan Muhammad Faizal Muhammad Talib

“Mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi, menjaga keharmonian pasukan, dan memberikan sumbangan penting walaupun kelab menghadapi beberapa isu sepanjang musim.

“Sumbangan mereka telah membantu Sang Kenari mencapai matlamat untuk menduduki tangga ke-4 dalam Liga Super musim 2023,” ujarnya.