PEMUDA yang dikenali sebagai Derrick Gan berbesar hati apabila dilantik menjadi duta di sebuah syarikat perabot, Johann & Joann sejurus menjadi penyumbang buat Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim.

Derrick yang ditemui ketika majlis yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) turut menjelaskan bahawa Akademi DNA Faisal Halim ini bakal menerima hasil 10 peratus dari nilai jualan produk perabotnya.

Sekitar Majlis Kerjasama antara Derrick, Johann & Joann dan Akademi Bola Sepak Faisal Halim di Mitec pada Isnin.

Bagi anak kelahiran Melaka itu, tiada impian lain selain mengharapkan agar sumbangan yang diberikan itu dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk bermain bola sepak selain melihat komuniti sukan bola sepak terus ‘hidup’.

”Dengan menjadi seorang duta syarikat Johann & Joann, mereka telah mengeluarkan sebuah produk rak serbaguna berkonsepkan Harimau Malaya dan menariknya, 10 peratus dari jumlah jualan akan disumbangkan kepada Akademi DNA Faisal Halim dan Train Like A Pro.

Derrick yang teruja diberi tanggungjawab sebagai duta syarikat perabot.

“Kita cuba bantu golongan yang tidak berkemampuan, ianya seperti memberi sumbangan kembali kepada masyarakat. Ini juga seperti salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk Johann & Joann,” ulasnya ketika Majlis Kerjasama Derrick Gan dan Johann & Joann.

Derrick turut menyatakan hasratnya agar inisiatif seperti ini dapat membantu lebih ramai kalangan masyarakat yang memerlukan pertolongan pada masa akan datang.